Bunga Telang Biru Berlapis atau nama saintifik nya Clitoria ternatea var. pleniflora merupakan bunga telang yang mempunyai kelopak berlapis yang juga dikenali sebagai Double Blue Butterfly Pea, Double Asian Pigeonwings, Cordofan Pea dan Darwin Pea.
Berbeza dengan bunga telang biasa yang hanya mempunyai satu lapisan kelopak nipis dan ringkas, bunga telang berlapis menonjol dengan kelopak berganda yang lebih tebal serta berlapis-lapis, menjadikannya tampak lebih menarik.
Kelebihan bunga telang berlapis ialah sekuntumnya sudah mampu menghasilkan warna yang lebih terang berbanding bunga telang biasa, kerana kelopaknya lebih tebal dan berlapis-lapis. Ini menjadikannya lebih praktikal dan menjimatkan, tidak perlu banyak bunga untuk mendapatkan hasil warna yang cantik dan pekat.
Bahan aktif utama yang memberikan warna biru pada bunga telang ialah antosianin, sejenis pigmen semula jadi daripada kumpulan flavonoid yang juga berkhasiat sebagai antioksidan. Pigmen ini larut dalam air, bertanggungjawab menghasilkan warna biru pekat pada kelopak bunga telang, dan boleh berubah menjadi ungu apabila bercampur dengan bahan berasid seperti perahan limau.
Bunga telang biru berlapis ini merupakan tumbuhan herba memanjat dari keluarga Fabaceae dengan batang menjalar sehingga 2 ke 5 meter. Ia mempunyai batang yang halus dan lentur, sesuai untuk menjalar pada pagar, trellis, atau pergola. Daunnya berbentuk bujur kecil berwarna hijau muda tersusun secara berselang pada batang, manakala bunganya unik dengan kelopak berlapis berwarna biru terang kadangkala sedikit ungu.
Selepas bunga mekar, kelopak biru berlapis akan layu dan gugur, lalu terbentuk buah berbentuk pod yang panjangnya lebih kurang 5 hingga 7 cm. Pod ini hijau ketika muda, bertukar coklat apabila matang, dan di dalamnya terdapat biji kecil berwarna hitam.
Selain dijadikan tanaman hiasan yang memperindah taman, bunga telang berlapis juga mempunyai banyak kegunaan dan khasiat antaranya ialah:
Pewarna makanan semula jadi
Digunakan sebagai pewarna asli dalam nasi kerabu, kuih, dan minuman kerana warna birunya yang unik.
Teh bunga telang
Diminum panas atau sejuk, kadangkala dicampur dengan madu atau lemon. Teh bunga telang bukan sekadar menyegarkan, tetapi juga kaya dengan khasiat semula jadi yang menenangkan dan menyihatkan. Ia boleh diminum panas atau sejuk, kadangkala ditambah madu atau lemon untuk rasa segar, serta dipercayai membantu menyahtoksik badan dan memperbaiki sistem pencernaan. Dalam tradisi Ayurveda, teh ini diminum untuk menenangkan fikiran dan merawat keresahan, menjadikannya pilihan terbaik bagi mereka yang ingin mengurangkan tekanan harian. Lebih menarik, teh bunga telang bebas kafein, menjadikannya sesuai di minum pada waktu malam.
Khasiat kesihatan
Bunga Telang dipercayai mampu meredakan tekanan, membantu tidur lebih lena, serta menurunkan kadar kolesterol. Selain itu, ia turut menyihatkan rambut dengan menguatkan akar dan memberi kilauan semula jadi.
Kaya dengan antioksidan seperti antosianin dan flavonoid, bunga telang membantu mencegah penuaan sel, mengurangkan radikal bebas, serta meningkatkan daya ingatan dan tumpuan. Lebih menarik lagi, kandungan antosianin dalam bunga telang juga menyokong kesihatan mata dengan meningkatkan penglihatan dan melindungi retina daripada kerosakan.
Perubatan tradisional
Bunga telang telah lama menjadi ramuan penting dalam perubatan tradisional Asia Tenggara dan Ayurveda bagi kesihatan tubuh dan minda.
Ekstrak bunga telang dipercayai meningkatkan fungsi otak dengan menyokong daya ingatan, tumpuan, serta melindungi sel otak daripada radikal bebas. Pada masa yang sama, ia digunakan untuk menenangkan fikiran, mengurangkan keresahan, dan membantu tubuh lebih relaks. Dalam rawatan tradisional, bunga telang turut dimanfaatkan untuk merawat masalah kesihatan ringan seperti demam, bisul, dan tekanan, menjadikannya herba serba guna sejak turun-temurun.
Kosmetik
Ekstrak bunga telang digunakan dalam sabun dan produk penjagaan kulit. Ia juga digunakan dalam syampu atau minyak rambut untuk menguatkan akar rambut, mengurangkan keguguran rambut, dan memberi kilauan semula jadi.
Disamping memiliki banyak khasiat dan kegunaan, pokok bunga telang berlapis juga mudah di tanam. Berbeza dengan tanaman hiasan lain yang memerlukan penjagaan rumit, bunga telang berlapis sebenarnya sangat mudah ditanam dan sesuai untuk sesiapa sahaja yang baru berjinak-jinak dengan dunia berkebun . Biji benihnya cepat bercambah apabila ditanam di tanah gembur dan bersaliran baik, tumbuhan ini tumbuh subur di kawasan tropika seperti Malaysia dengan cahaya matahari yang mencukupi. Dengan penjagaan yang ringkas, anda boleh menikmati bunga yang indah, berkhasiat, dan bernilai tinggi terus dari halaman rumah.
Bunga Telang Berlapis bukan sahaja indah sebagai hiasan tetapi juga kaya dengan pelbagai kelebihan. Dari pewarna semula jadi dalam masakan, ramuan tradisional untuk kesihatan, hingga bahan dalam kosmetik moden, ini jelas menunjukan bahawa bunga telang berlapis adalah tumbuhan serba guna yang bernilai tinggi. Keindahan estetiknya menambah seri taman serta berkhasiatnya bagi kesihatan minda dan tubuh. Bunga telang berlapis ialah tanaman serba guna yang mudah ditanam, unik, dan penuh manfaat. menjadikanya pilihan sempurna untuk menghiasi taman bukan sahaja menambah seri pada persekitaran, tetapi juga bermanafaat.
Semua Post Yang Berkaitan: Bunga Telang Biru Kelopak Berlapis