Bendi Emerald, juga dikenali sebagai ‘Emerald Green’ dan ‘Emerald Green Velvet’, merupakan variety bendi yang menghasilkan bendi berwarna hijau yang berdinding tebal, berbentuk bulat, ramping, panjang dan tiada duri halus/miang.
Varieti Bendi Emerald Green Velvet telah dibangunkan oleh Campbell Soup Company dan diperkenalkan pada tahun 1950. Ia di bangunkan di pusat penyelidikan syarikat tersebut yang terletak di Riverton, New Jersey. Varieti ini dihasilkan khas untuk menghasilkan bendi berwarna hijau yang licin, tidak berduri dan bertekstur lembut yang sesuai digunakan bagi menghasilkan produk Campbell seperti sup pekat, stew dan gumbo.
Bendi Emerald merupakan antara variety bendi heirloom yang terkenal. Ia dikenali sebagai variety yang produktif, mempunyai dayatahan terhadap penyakit dan rasa bendi yang sangat enak. Bendi yang dihasilkan berbentuk ramping, licin, dan lembut. Bendi Emerald juga sesuai untuk dimakan segar, dijeruk, atau dibekukan. Pokok Bendi Emerald boleh mencapai ketinggian antara 3 hingga 5 kaki dan menghasilkan buah sepanjang 3 hingga 6 inci, namun bendi harus dituai antara 3 hingga 4 inci panjang kerana pada saiz ini, bendi masih muda dan lembut. Bendi yang mencapai saiz 3 ke 4 inci panjang harus segera dipetik dan tidak boleh di biarkan terlalu lama di pokok kerana ianya akan menjadi liat dan berserat.
Varieti ini juga agak mudah ditanam, menjadikannya pilihan ideal untuk di tanam oleh individu yang berpengalaman mahupun mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pertanian. Penuaian secara berterusan dan kerap akan menggalakkan dan merangsang pokok untuk terus mengeluarkan bendi baru.