Cili Hantu (Ghost Pepper) juga dikenali sebagai Jhut Bolokia, Raja Mirchi dan juga Naga King Chili. Cili ini berasal dari Nagaland iaitu sebuah negeri berbukit yang terletak di timur laut wilayah India. Cili Hantu adalah antara cili terperdas dengan tahap kepedasan dari 855,000 hingga 1,041,000 SHU. Walaupun pedas, Cili Hantu mempunyai profil rasa yang unik, digambarkan sebagai sedikit rasa buah-buahan, sedikit rasa manis dan juga sedikit rasa berasap (smoky).
Cili Hantu digunakan dalam pelbagai masakan, terutamanya di India dan Asia Selatan, Ia digunakan sebagai rempah ratus dan penambah rasa. Ia juga digunakan dalam sos pedas dan produk pedas lain. Selain itu Cili Hantu juga digunakan untuk menghasilkan semburan beruang, gas pemedih mata dan semburan lada (Pepper Spray).
Cili Hantu merupakan antara cili yang popular kerana jumlah liputan akhbar dan media yang diterima pada masa lalu dimana Cili Hantu merupakan cili pertama yang mempunyai tahap kepedasan yang melebihi satu juta SHU. Pada tahun 2007, Guinness World Records mengesahkan bahawa Cili Hantu adalah cili terpedas di dunia dengan tahap kepedasan Cili Hantu adalah 1,041,000 SHU iaitu 400 kali lebih pedas daripada Sos Tabasco. Pada Febuari 2011 Cili Infinity memegang gelaran Guinness World Record untuk cili terpedas di dunia dengan 1,067,286 SHU. Namun rekod tersebut cuma bertahan selama dua minggu. Pada 1 Mac 2011, ia telah digantikan oleh Cili Trinidad Scorpion Butch T, yang mencatatkan 1,463,700 SHU.
Sebelum mencuba Cili Hantu, anda perlu memahami tahap kepedasan Cili ini. Sila rujuk blog post: Skala Kepedasan Scoville untuk memahami dan mendapatkan gambaran tentang tahap kepedasan Cili Hantu.
⚠️ Langkah Keselamatan
Oleh kerana Cili Hantu mempunyai tahap kepedasan yang tinggi, adalah penting untuk mengendalikan Cili Hantu dengan berhati-hati, dengan memakai sarung tangan dan pelindung mata serta bekerja di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik.